KERAJAAN membatalkan sambutan ambang Tahun Baru 2023 yang dijadualkan diadakan di Dataran Merdeka pada 31 Disember ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pembatalan itu susulan keadaan banjir dan kesusahan dialami rakyat pada masa ini.
“Oleh kerana beberapa negeri banjir dan mengambil kira kesusahan rakyat, maka sambutan besar-besaran di Dataran Merdeka pada 31 Disember ini dibatalkan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Kabinet, di Putrajaya hari ini.
Menurutnya, berhubung situasi yang banjir yang melanda negara terutama di Pantai Timur, beberapa pengumuman akan dibuat mengenainya.
“Tentunya dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini kita tumpukan soal banjir terutama di Kelantan dan Terengganu. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah sampai ke sana semalam untuk pantau dan ambil beberapa tindakan segera serta melaporkan kepada Jemaah Menteri.
“Hari ini saya akan ke Kelantan dan pengumuman-pengumuman soal banjir akan dilakukan disana selepas mendengar pandangan di lapangan dan kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata, terdapat juga pandangan untuk membabitkan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dari segi kebajikan dan bantuan mangsa banjir.
“Selain itu pembabitan lebih besar daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan beberapa kemudahan sedia ada akan dimanfaatkan untuk maksud itu,” katanya.
Sementara itu Perdana Menteri, berkata Kabinet juga membincangkan mengenai mandat besar yang diterima di Parlimen dua hari lalu yang membolehkan kerajaan kini menumpukan perhatian sepenuhnya bagi menjamin tatakelola dan tadbir urus yang berkesan untuk manfaat kebajikan rakyat dan negara.
Beliau berkata, dengan mandat melalui undian dua pertiga di Parlimen, kerajaan kini menumpukan kepada usaha menjana pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat.
“Apa yang berlaku di Parlimen dua hari lalu kita bincangkan sepintas lalu.
“Mandat itu jelas dan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof kerana usul beliau itu diterima baik hampir sebulat suara, jika ada pengundian, undi dua pertiga itu pasti terjamin.
“Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada semua parti Kerajaan Perpaduan dan kebetulan dalam kes ini tiada yang membantah daripada parti pembangkang,” katanya. -Malaysiapost

