Tak mengundi dosa besar: Khairuddin tegur Hadi keluar hukum

0
2

TINDAKAN mengaitkan hadis berhubung hukum lari dari medan perang Islam dan menqiaskan konsep itu sebagai dalil bagi mengharamkan tindakan tidak mengundi dalam pilihan raya disifatkan sebagai satu istinbat hukum yang tersasar dan sangat tidak halus.

Bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mempersoalkan sama ada ia bermaksud mereka yang tidak mengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah berdosa besar.

“Apakah ia bermaksud mereka yang tidak mengundi dalam PRU yang lalu adalah berdosa besar.

“Dan lebih jauh lagi mengundi parti lain sehingga terbentuk kerajaan baharu sekarang di peringkat Persekutuan bermaksud kuasa Islam telah jatuh?.

“Atau dengan maksud hanya mengundi parti tertentu sahaja barulah dikira mengundi untuk kuasa Islam?,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Justeru, beliau berpendapat fatwa itu perlukan penghalusan kerana kesannya besar pada umat.

Terdahulu, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa rakyat Malaysia yang beragama Islam dan layak mengundi, namun tidak menunaikannya walaupun alasannya kerana ibadat haji dan umrah dibimbangi telah melakukan dosa besar kerana telah melanggar perintah Allah SWT.

Dakwanya kira-kira 98 peratus orang bukan Islam dari seluruh negara dan pelosok dunia yang jauh dikerah untuk mengundi bagi mendapatkan kuasa dalam tanah air dengan menyokong DAP dan kumpulannya, walaupun mereka mengeluarkan belanja sendiri.

Beliau berkata, malangnya, orang Islam yang keluar mengundi hanya sekitar 60 peratus, menunjukkan orang Islam yang tidak menunaikan kewajipan mengundi walaupun alasannya kerana ibadat haji dan umrah.

“Malah ada yang menunggu upah duit dan sebagainya.

“Keadaan ini dibimbangkan mereka itu melakukan dosa besar kerana telah melanggar perintah Allah SWT,” katanya dalam satu surat terbuka kepada jemaah haji dan umrah yang tidak mengundi yang disampaikan dalam Minda Presiden PAS, di Facebook.

Menurutnya, penulisan itu ditujukan kepada mereka yang tidak mengundi, khususnya kerana melaksanakan haji dan umrah, termasuk juga para peniaganya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here