Saranan solat hajat dan doa untuk kesejahteraan Malaysia

0
2
Orang ramai hadir di Masjid Wilayah Persekutuan untuk menunaikan solat Jumaat dengan penjarakkan 1.5 meter ketika tinjauan Malaysiapost hari ini.

JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menyarankan masjid, surau Jumaat dan surau di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan menganjurkan solat hajat susulan musibah banjir yang melanda negara khususnya di Pantai Timur.

Pengarahnya Datuk Mohd Ajib Ismail, berkata solat hajat itu disaran dianjurkan selepas solat Maghrib malam esok dan selepas solat Jumaat pada 23 Disember ini.

“Ini bagi memohon perlindungan Allah SWT dan keselamatan untuk negara Malaysia dari sebarang musibah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini

Beliau berkata, selain itu masjid dan surau Jumaat di Wilayah-Wilayah Persekutuan juga telah digerakkan bagi mengadakan kutipan Jumaat serta menghulurkan bantuan dan keperluan bersesuaian.

Menurutnya, bantuan itu akan disampaikan melalui Skuad Musaadah yang juga agensi di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kepada golongan yang terkesan.

“Kami mendoakan agar dikurniakan keselamatan dan kemudahan kepada semua pasukan penyelamat serta ketabahan buat semua saudara kami yang diuji dengan musibah,” katanya.

Terdahulu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengadakan solat hajat di masjid utama seliaannya, susulan bencana banjir yang melanda negara.

JAKIM diminta menganjurkan solat hajat di tiga masjid iaitu Masjid Negara, di Kuala Lumpur; Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di Putrajaya.

Beliau berkata selain itu, pihak JAWI juga akan bekerjasama untuk turut mengadakan solat hajat di masjid-masjid dan surau-surau Wilayah Persekutuan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here