TNB tutup lebih banyak bekalan elektrik di Terengganu

0
1

TENAGA Nasional Berhad (TNB) memaklumkan terdapat penambahan penutupan bekalan elektrik bagi Terengganu akibat bencana banjir di negeri berkenaan.

Dalam satu makluman dikeluarkan di laman Facebook TNB Careline, tambahan penutupan bekalan elektrik itu dibuat setakat jam 9 pagi tadi.

“Pelanggan yang dihargai, setakat jam 9 pagi, terdapat penambahan penutupan bekalan elektrik bagi negeri Terengganu disebabkan keadaan hujan lebat dan banjir,” menurut makluman berkenaan.

Kawasan-kawasan yang masih belum mendapat bekalan elektrik ekoran penutupan bekalan oleh TNB demi keselamatan pengguna setempat adalah membabitkan daerah Kuala Terengganu (empat kawasan), Setiu (dua kawasan), Kuala Berang (93 kawasan), Besut (60 kawasan) dan Al-Muktafi Billah Shah (23 kawasan).

“Usaha-usaha sedang giat dijalankan bagi memastikan bekalan elektrik di kawasan-kawasan terlibat dapat disalurkan secara berperingkat, bergantung kepada akses dan keadaan setempat,” katanya.

TNB juga memberi peringatan, sekiranya banjir semakin bertambah buruk, berisiko serta membahayakan keadaan, penutupan bekalan akan dilakukan di pencawang elektrik yang terlibat bagi memastikan keselamatan pengguna setempat.

“Sentiasa waspada dengan hujan lebat dan keadaan berisiko banjir. Jauhi pepasangan elektrik yang terendam air banjir kerana dikhuatiri berlakunya kebocoran arus.

“Kesabaran dan keprihatinan anda amat dihargai,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here