AJK Pejuang Wilayah Persekutuan dibubarkan

0
1

MAJLIS Pimpinan Negeri (MPN) Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan yang bermesyuarat malam tadi secara konsensus bersetuju membubarkan keseluruhan senarai Ahli-Ahli Jawatankuasanya berkuatkuasa serta-merta.

Keputusan itu dibuat susulan Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan secara rasminya meletakkan jawatannya dalam mesyuarat yang diadakan jam 9 malam tadi.

Khairuddin dalam satu kenyataan, memaklumkan beliau turut meletakkan jawatan sebagai Ahli Majlis Eksekutif (MEP) Pusat Pejuang berkuatkuasa serta-merta.

Menurutnya, keputusan itu dibuat susulan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Pejuang pada 15 Disember lalu.

“Saya secara rasminya meletakkan jawatan sebagai Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan dan Ahli MEP Pusat berkuatkuasa serta-merta tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

“Perjuangan saya dulu, kini dan selamanya hanyalah berteraskan paksi sokongan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad yang sentiasa kekal berprinsip dan tidak pernah menipu dalam mana-mana perjuangan untuk menegakkan kebenaran demi bangsa, negara mahupun agama.

“Saya hanya memberi perkhidmatan secara terbaik dan teramanah mungkin kepada Tun Dr Mahathir Mohamad serta apabila perletakan jawatan beliau diterima oleh Biro Politik parti Pejuang dan dimaklumkan pada mesyuarat MEP Pusat pada 15 Disember 2022 maka kini perkhidmatan saya dalam parti Pejuang sudah tidak relevan lagi,” katanya.

Menurutnya, dalam masa sama beliau juga telah hilang keyakinan terhadap kepimpinan Presiden Pejuang Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

“Setelah mengadakan mesyuarat MPN Wilayah Persekutuan pada 19 Disember 2022 jam 9 malam secara konsensus bersetuju untuk membubarkan keseluruhan senarai Ahli-Ahli Jawatankuasa yang dilantik oleh Ketua Negeri menganggotai MPN berkuatkuasa serta-merta,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Dr Mahathir meletak jawatan sebagai Pengerusi Pejuang, namun beliau bagaimanapun kekal sebagai Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here