RAYUAN Datin Seri Rosmah Mansor terhadap sabitan dan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta berkaitan projek solar hibrid, akan didengar oleh Mahkamah Rayuan pada 22 dan 23 Jun tahun depan.
Pada tarikh sama, mahkamah akan mendengar rayuan isteri Datuk Seri Najib Razak itu untuk menyingkirkan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan yang menjatuhi hukuman dalam kes rasuah dihadapinya.
Tarikh pendengaran selama dua hari itu ditetapkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Putrajaya, Norkamilah Aziz ketika pengurusan kes itu hari ini.
Sementara itu Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn memberitahu wakil media yang dipetik Utusan Malaysia, hujahan perlu difailkan pada atau sebelum 22 Mei 2023 manakala hujahan balas jika ada, perlu difailkan pada atau sebelum 7 Jun 2023.
“Perayu (Rosmah) akan menulis surat rasmi memohon Mahkamah Rayuan untuk menetapkan tarikh rayuan dilanjutkan pada 12 hingga 14 Julai 2023.
“Permohonan tertakluk kepada persetujuan Mahkamah Rayuan. Tarikh pengurusan kes selanjutnya pada 3 Februari 2023 menerusi aplikasi Zoom untuk pihak-pihak mendapatkan keputusan permohonan itu,” katanya.
Pada 1 September lalu, Rosmah, 71, dihukum penjara 10 tahun dan denda RM970 juta selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Rosmah kemudian memfailkan notis rayuan untuk mengetepikan keseluruhan keputusan Mahkamah Tinggi.
Petisyen rayuan pula difailkan pada 13 Oktober lalu dengan mengemukakan 127 alasan, antaranya mendakwa Hakim Mohamed Zaini merumuskan pembelannya adalah penafian kosong semata-mata (bare denial).
Menurut isteri kepada bekas Perdana Menteri itu, dalam kes tersebut pihak pendakwaan gagal untuk membuktikan prima facie terhadapnya mengenai wang RM1.5 juta yang kononnya diletakkan di dalam dua beg galas bertali jingga, sudah diserahkan atau sebaliknya.
Selain wang RM1.5 juta, Rosmah turut membangkitkan pendakwaan juga gagal membuktikan dia telah menerima dua beg bagasi berisi RM5 juta daripada saksi pendakwaan ke-21 di Seri Perdana. – Malaysiapost

