AHLI Parlimen Perikatan Nasional (PN)akan memainkan peranan sebagai pembangkang berwibawa untuk membawa suara rakyat ke Parlimen, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau yang juga Pengerusi PN itu berkata, pihaknya juga akan memikul tugas semak dan imbang bagi memastikan tadbir urus kerajaan sentiasa berintegriti serta bebas daripada unsur rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
“Ini adalah selaras dengan prinsip prihatin, bersih dan stabil yang diperjuangkan oleh Perikatan Nasional.
“Pada masa yang sama juga Perikatan Nasional akan terus komited untuk memastikan kestabilan politik dan kesejahteraan hidup rakyat terjamin dan demokrasi terus subur di negara ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Muhyiddin bersama 73 lagi Ahli Parlimen PN hari ini mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15, pagi tadi.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada Datuk Johari Abdul kerana dipilih sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu.
“Terima kasih dan penghargaan juga kepada bekas Speaker Tan Sri Azhar Azizan yang telah menjalankan tugas dengan cemerlang sepanjang perkhidmatan beliau,” katanya.
Hari ini, Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetuai majlis mengangkat sumpah Ahli-Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, pagi tadi.
Ia kemudian diikuti oleh dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Ahli Parlimen Petrajaya, Datuk Seri Fadillah Yusof. – Malaysiapost

