MESYUARAT Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 bermula hari ini, melakar sejarah tersendiri apabila kedudukan ahli Dewan Rakyat Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) kini sebaris dalam satu blok.
Perubahan tempat duduk ahli Parlimen daripada kedua-dua gabungan parti yang pernah menjadi seteru sejak sekian lama itu berlaku susulan terjalinnya kerjasama untuk membentuk kerajaan baharu.
Persidangan kali ini juga menyaksikan Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kini duduk sebelah menyebelah di blok kerajaan.
Ia juga kali pertama BN yang sebelum ini lantang menolak DAP, duduk sebaris dengan ahli Dewan Rakyat daripada parti tersebut.
Selain PH dan BN, kerajaan baharu itu turut dianggotai tiga lagi gabungan politik utama iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan. – Malaysiapost

