Malaysia-Palestin komited perkukuh hubungan dua hala – PM

0
2

DATUK Seri Anwar Ibrahim, mengulangi kesediaan untuk memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Palestin dalam pelbagai lapangan termasuk perdagangan, hubungan rakyat serta pendidikan.

Perkara itu dinyatakan Anwar selepas menerima panggilan telefon daripada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas yang mengucapkan tahniah atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri ke-10.

“Saya juga menzahirkan simpati atas nasib yang menimpa rakyat Palestin dan menegaskan komitmen serta solidariti berterusan Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin untuk membebaskan Palestin daripada cengkaman Zionis Israel.

“Di bawah pentadbiran saya, Malaysia akan kekal teguh dalam perjuangan untuk menamatkan penderitaan berpanjangan rakyat Palestin dan mengembalikan keamanan, kebebasan dan kemerdekaan Palestin,” katanya menerusi Facebooknya, hari ini.

Sementara itu, Mahmoud berkata, Palestin akan membuka semua pintu kerjasama dengan Malaysia dalam perdagangan dan hubungan ekonomi, selain turut menjemput Perdana Menteri ke Palestin.

“Saya berterima kasih atas pendirian anda dalam isu Palestin, yang mana anda memberi sokongan kepada Palestin di mana saja terutama dalam komuniti antarabangsa.

“Kami mengagumi bantuan, pendidikan dan latihan daripada anda,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here