KETUA Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menarik perhatian Dewan Rakyat hari ini dengan ‘menyerang’ Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan kes liwat yang pernah dihadapinya.
Ketika berbahas dalam usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Hamzah membangkitkan mengenai laporan berita-berita media asing yang memaparkan Malaysia telah melantik seorang Perdana Menteri yang pernah didakwa terlibat dalam homoseksual.
Sejurus itu, Dewan Rakyat menjadi gamat sebentar apabila beberapa Ahli Parlimen blok kerajaan bangkit mencelah dan mempertikaikan ucapan Hamzah yang didakwa menyerang peribadi Ahli Parlimen sekali gus menyalahi peraturan mesyuarat.
Hamzah kemudiannya menafikan hujahannya dengan mendakwa beliau tidak menyerang peribadi Perdana Menteri, sebaliknya memohon Kerajaan Perpaduan mengambil tindakan tegas terhadap laporan berita-berita asing berkenaan.
“Tunggu lah dulu…. Apa yang saya nak cakap ni. Saya mempertahankan Perdana Menteri. Saya pun dah ucap tahniah kepada Tambun kerana dilantik menjadi Perdana Menteri.
“Saya mahu Perdana Menteri mengambil tindakan tegas terhadap laporan yang memberikan imej buruk kepada Malaysia, kita tidak mahu nama Malaysia tercemar sekali gus menyebabkan pelabur asing kurang yakin kepada kita,” katanya. -Malaysiapost

