DATUK Seri Anwar Ibrahim berjanji akan memimpin Kerajaan Perpaduan sekali gus memikul mandat yang diberikan rakyat kepadanya sebagai Ahli Parlimen.
Menerusi hantaran di Facebook miliknya, Perdana Menteri berkata, agenda kerajaan yang dipimpinnya ialah menjaga kepentingan dan hak rakyat.
“Alhamdulillah, secara rasminya telah mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Tambun di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen Ke-15 yang bermula hari ini sehingga esok.
“Tanggungjawab ini akan digalas dengan meletakkan kepentingan dan hak rakyat sebagai tunggak utama.
“Kami akan bekerja sesungguhnya dengan menjunjung peranan institusi Parlimen dan mempertahankan Perlembagaan,” katanya.
Terdahulu Anwar L mengetuai majlis mengangkat sumpah Ahli-Ahli Parlimen di Dewan Rakyat pada sesi pagi tadi.
Seramai 222 Ahli Parlimen dipilih pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu, 148 daripadanya menyokong penubuhan Kerajaan Perpaduan yang diterajui Anwar. – Malaysiapost

