SELEPAS penyanyi popular, Datuk Jamal Abdillah menarik diri daripada menyertai Muafakat Nasional (MN), semalam, langkah sama juga diambil pelakon, Ummi Nazeera.
Pelakon yang popular menerusi drama bersiri Rindu Kasih itu memaklumkan keputusannya itu dalam satu hantaran yang dimuat naik di Instagram, pagi tadi.
Ummi berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kegusaran peminat yang sentiasa menyokong kerjaya seninya selama ini.
Malah, menurutnya keputusan itu juga dibuat selepas mengambil kira pandangan pihak berkepentingan.
“Saya Ummi Nazeera mengambil keputusan untuk menarik diri daripada Muafakat Nasional, sebuah badan bukan kerajaan (NGO).
“Ummi akan terus fokus berkarya dalam industri seni dan juga fokus kepada keluarga Ummi.
“Terima kasih atas sokongan dan keprihatinan semua,” katanya dalam hantaran tersebut.
Pada masa sama, ibu kepada dua cahaya mata itu turut menzahirkan penghargaan kepada NGO tersebut atas kepercayaan mereka sebelum ini.
“Terima kasih atas kesudian Muafakat Nasional melantik Ummi dan selamat maju jaya kepada mereka sebagai sebuah NGO,” katanya.
Semalam, Jamal Abdillah turut mengumumkan pengunduran daripada NGO tersebut kerana mahu bersikap neutral tanpa mewakili mana-mana pihak.
Baginya, pilihan itu tidak bersesuaian dengan prinsipnya sebagai penghibur yang menginginkan semua pihak menyukainya, termasuk peminat dalam kalangan parti politik.
Sebelum ini, seramai 30 individu dipilih menyertai Ahli Dewan Tertinggi MN termasuk Jamal yang dijemput sendiri oleh Presiden MN, Tan Sri Annuar Musa. – Malaysiapost

