‘Mana Laungan diktator Mas Ermieyati masa MoU PH dengan Ismail Sabri’ – Fahmi

0
2

AHLI Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, menempelak dakwaan beberapa pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang menyifatkan Memorandum Persefahaman (MoU) parti-parti gabungan Kerajaan Perpaduan sebagai diktator’ atau ‘tak sah’.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKD), berkata pertikaian yang dibuat Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin semalam, adalah kemunafikan politik.

“Semalam mula lah siri serangan mereka yang sering pertikai usaha Kerajaan Perpaduan Malaysia.

“Kedua-duanya menabur hujah ‘diktator’ atau ‘tak sah’ terhadap Memorandum Persefahaman yang ditandatangani parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan Malaysia.

“Di mana laungan ‘diktator’ Mas Ermieyati bila Pakatan Harapan (PH) menandatangani MoU dengan kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob?

“Klausa 3a MoU berkata Pakatan Harapan mesti sokong Bajet 2022 – bermaksud Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Harapan tiada pilihan dalam bab ini. Itu tak diktator?,” soal Fahmi dalam hantaran Facebook, hari ini.

Fahmi berkata, MoU Kerajaan Perpaduan yang ditandatangani pada 16 Disember lalu adalah langkah tepat yang menunjukkan pimpinan faham apa yang perlu diusahakan untuk mewujudkan kestabilan.

Katanya, apa yang berbeza kali ini adalah PH, Barisan Nasional (BN) Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Warisan Sabah (Warisan), dan parti-parti yang menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk Kerajaan Perpaduan.

Ujarnya, gabungan itu bagi mewujudkan kestabilan kerajaan pasca Parlimen tergantung, agar masalah rakyat terutama isu kos sara hidup dapat diselesaikan dan ekonomi negara boleh dibangunkan semula.

“Sudah-sudahlah menabur bibit pertikaian dan kebencian melampau. Kita ‘move on’, ketepikan politik, fokus khidmat bakti dalam apa jua jawatan yang dipegang, demi masa depan Malaysia,” katanya.

Semalam, Mas Ermieyati yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), menyifatkan MoU kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai satu permulaan kepada pemerintahan ‘ala diktator’

Beliau menyatakan mengenai syarat dalam MoU itu iaitu semua Ahli Parlimen wajib menyokong Perdana Menteri dalam mana-mana usul kepercayaan atau rang undang-undang bekalan atau mana-mana usul berkaitan kepercayaan kerajaan PH-BN.

Katanya, satu lagi syarat pula menyatakan sekiranya mana-mana ahli parlimen kerajaan yang gagal mengundi sebagaimana yang telah diarah, mereka akan dianggap telah mengosongkan kerusi Parlimen mereka berdasarkan Artikel 49A Perlembagaan Persekutuan.

Pada perkembangan sama, Muhyiddin dalam kenyataan juga menyifatkan MoU yang ditandatangani gabungan parti dalam Kerajaan Perpaduan, sebagai tidak berperlembagaan.

Katanya, kandungan dalam perjanjian tersebut bercanggah dengan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan yang menghendaki Ahli-Ahli Dewan Rakyat mengosongkan kerusi hanya apabila mereka melompat parti.

Katanya, undang-undang anti lompat parti yang mula berkuat kuasa pada Oktober lalu tidak menghalang hak dan kebebasan Ahli-Ahli Dewan Rakyat untuk mengundi di Dewan Rakyat.

Tambah Muhyiddin, perjanjian yang tidak berperlembagaan itu menunjukkan seolah-olah Anwar tidak yakin beliau akan mendapat sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here