MISI mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan di Jalan Batang Kali-Genting Highland diteruskan sehingga jam 4 pagi ini.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah, berkata misi akan diteruskan seperti dirancang meskipun keadaan hujan renyai ketika ini.
“Keadaan cuaca hujan tapi kita sudah berbincang dengan lima agensi penyelamat utama bagi meneruskan usaha penyelamatan di ketiga-tiga sektor sehingga jam 4 pagi.
“Operasi kemudian akan ditangguhkan selepas itu dan disambung semula pada 9 pagi esok,” katanya kepada pemberita di lokasi tersebut, hari ini.
Suffian berkata, setakat 9 malam ini tiada sebarang petunjuk atau penemuan baharu dengan penemuan terakhir adalah mangsa ke-24 membabitkan kanak-kanak perempuan berusia lingkungan tujuh hingga lapan tahun.
Dalam perkembangan sama, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, misi kekal membabitkan 135 anggota dan pegawai dibantu Unit Anjing Pengesan (K9).
“Ada pertukaran penugasan yang mana penggantian anggota supaya operasi tidak terjejas. Tapi kita (JBPM) akan pastikan anggota baharu yang masuk ke kawasan insiden dalam keadaan bersedia.
“Begitu juga anjing pengesan turut direhatkan sebelum meneruskan operasi semula,” katanya.
Sehingga malam ini, Jumlah mangsa tragedi runtuhan tanah di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Batang Kali-Genting Highland, telah meningkat kepada 24 orang.
Baki sembilan mangsa masih dikesan manakala 61 berjaya diselamatkan dalam kejadian dilapor membabitkan sejumlah 94 orang. – Malaysiapost

