MoU sokong Anwar: ‘Ini bukan Kerajaan Perpaduan tetapi Kerajaan Paksaan’ – Tun Faisal

0
1
Tun Faisal Ismail Aziz

PERJANJIAN persefahaman (MoU) lima gabungan politik dalam Kerajaan Perpaduan yang ditandatangani semalam, membuktikan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mendapat sokongan secara sukarela.

Bekas Timbalan Ketua Bahagian Umno Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, berkata Anwar tidak perlu mengungut Ahli Parlimen dengan membuat MoU berkenaan sekiranya beliau benar-benar berani.

“Kenapa perlu buat MoU paksa Ahli Parlimen menyokong Anwar? Ini bukan Kerajaan Perpaduan tapi Kerajaan Paksaan. Pengundi tertipu, mereka undi sebab nak benda lain, tapi yang jadi benda lain.

“Saya percaya terdapat peruntukan Perlembagaan dan undang-undang yang menjamin hak dan kebebasan Ahli-ahli Parlimen untuk membuat keputusan sendiri.

“Ia adalah menjadi suatu kesalahan jenayah jika memaksa Ahli Parlimen membuat keputusan yang bertentangan dengan kehendak mereka,” katanya menerusi Facebook.

Jelas Tun Faisal lagi, Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) atau parti lain tidak perlu takut kerana kedudukan Perlembagaan dan undang-undang negara lebih tinggi daripada MoU yang ditandatangani oleh ketua-ketua parti.

Beliau juga berharap Ahli Parlimen BN supaya tidak menyokong pembentangan usul undi percaya bagi keabsahan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri Ke-10.

“MoU tak mungkin boleh mengatasi Perlembagaan. Jika kena buat Pilihan Raya Kecil (PRK) sekali pun jangan takut.

“Saya yakin, mana-mana Ahli Parlimen BN yang tidak sokong Anwar dan lawan (Datuk Seri Dr Ahmad) Zahid (Hamidi) akan mendapat undi yang jauh lebih banyak berbanding yang mereka dapat semasa PRU15,” katanya.

Semalam, lima gabungan politik menyatakan komitmen mereka menyokong Kerajaan Perpaduan Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengelakkan ketidaktentuan politik pada masa depan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here