AHLI Parlimen Bentong, Young Syefura Othman menggesa Kerajaan Pahang menyemak semula setiap projek yang dijalankan di kawasan cerun berbukit yang mempunyai risiko tanah runtuh dengan segera.
Pemimpin DAP itu berkata, langkah itu bagi mengelakkan tragedi tanah runtuh berlaku yang akan menyebabkan kemalangan jiwa.
“Langkah-langkah keselamatan perlu dititik berat dan menjadi keutamaan lebih-lebih lagi ketika kini negara kita sedang mengalami musim tengkujuh.
“Oleh itu, setiap agensi atau jabatan berkaitan mesti mengadakan pemeriksaan di setiap tapak projek di kawasan cerun berbukit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Young Syefura menyeru pengusaha pusat percutian terutama di kawasan berisiko tanah runtuh supaya peka keadaan di sekeliling, selain tidak memikirkan keuntungan semata-mata.
“Saya mohon agar pengusaha bertanggungjawab dalam memastikan tiada rekahan atau tanda-tanda awal pergerakan tanah di kawasan sekeliling tempat percutian milik mereka.
“Segera melaporkan kepada pihak berkuasa jika terdapat kesan-kesan rekahan di kawasan mereka. Begitu juga dengan kawasan-kawasan berisiko yang lain seperti kawasan di tepi pantai dan tepi sungai.
Dalam perkembangan sama, Young Syefura berharap Jalan Batang Kali- Genting ini dapat dibaik pulih dan dibuka kepada kegunaan orang ramai dengan kadar segera.
“Ini adalah kerana jalan ini menjadi jalan utama kepada mereka yang bekerja di kawasan Genting yang tinggal di kawasan Batang Kali dan sekitarnya.
“Jika jalan ini ditutup dalam jangka masa yang lama, ia akan menyukarkan mereka untuk berulang-alik dari tempat tinggal ke tempat kerja.
“Laluan alternatif yang dicadangkan agak jauh dan mengambil masa yang panjang serta menelan kos yang tinggi kerana mereka terpaksa membayar tol dan mengeluarkan perbelanjaan minyak yang lebih besar,” katanya.
Justeru, beliau memohon Jabatan Kerja Raya agar segera membaik pulih jalan tersebut demi kesenangan rakyat.
“Esok genap setahun tragedi banjir besar melanda Pahang yang telah mengorbankan nyawa serta menyebabkan rakyat hilang harta benda.
“Saya berdoa agar Pahang dan setiap pelusuk negara sentiasa berada di dalam lindungan-Nya dan tiada tragedi atau bencana melanda yang boleh menyebabkan kemalangan jiwa,” katanya. – Malaysiapost

