5 nelayan terselamat bot karam

0
1

LIMA nelayan terselamat apabila bot dinaiki mereka karam di kedudukan 5.3 batu nautika timur Tanjung Lompat di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, lima kru termasuk tekong itu terjun ke laut dan berjaya diberi bantuan awal oleh kapal tangki serta bot nelayan tempatan yang berada sekitar kawasan itu.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian daripada kapal MT Atlantica Breeze yang menghubungi Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru.

Menurut beliau, kapal itu memaklumkan terdapat sebuah bot nelayan yang hanyut sehingga melanggar kapal mereka.

Katanya, bot PERKASA 29 dan PERKASA 30 diatur gerak ke lokasi dan hasil pemeriksaan mendapati kejadian berpunca daripada kerosakan enjin bot nelayan berkenaan.

“Keadaan cuaca yang buruk pada ketika itu menyebabkan bot hanyut dan melanggar kapal MT Atlantica Breeze yang sedang bersauh di kawasan terbabit.

“Akibat pelanggaran itu, bot mengalami kebocoran dan mulai karam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, lima kru berkenaan adalah warga Indonesia berusia 30 hingga 43 tahun dan mempunyai dokumen pengenalan diri serta permit yang sah.

Katanya, dua daripada mangsa dibawa ke jeti Zon Maritim Tanjung Sedili dan seterusnya ke Klinik Kesihatan Tanjung Sedili untuk rawatan kerana mengalami kecederaan ringan. – Malaysiapost

Kredit foto: Maritim Malaysia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here