Tanah runtuh:100 dikhuatiri tertimbus di tapak perkhemahan

0
1

SEKURANG-KURANGNYA 100 orang dikhuatiri menjadi mangsa kejadian tanah runtuh di sebuah tapak perkhemahan berhampiran Father Organic Farm, Batang Kali, awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 2.24 pagi.

Beliau berkata, sepasukan 20 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu, Rawang dan Genting dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Berdasarkan laporan awal, kejadian tanah runtuh yang berlaku di tepi jalan berhampiran Father Organic Farm menghempap sebuah tapak perkhemahan.

“Ketinggian runtuhan dianggarkan setinggi 30 meter dengan anggaran keluasan runtuhan satu ekar (0.4 hektar),” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Norazam berkata, maklumat daripada pasukan perubatan mendapati seramai 31 mangsa berjaya ditemukan dan berada dalam keadaan selamat.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat dilakukan termasuk menggunakan khidmat unit anjing pengesan (K9) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Sentosa, Ampang, Pandan, Kota Anggerik, Kajang dan Andalas.

“Turut digerakkan ke lokasi kejadian adalah Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM),” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here