SEMUA tapak perkhemahan berhampiran cerun bukit atau tepi sungai perlu dikosongkan sementara berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.
Perkara itu disarankan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang berkata, meskipun kawasan itu didapati selamat buat masa ini namun ramalan Jabatan Meteorologi menyatakan hujan lebat luar biasa akan bermula esok terutama di Pantai Timur.
“Jadi dikhuatiri hujan lebat akan menyebabkan berlakunya kepala air,” katanya selepas melawat dan mendengar taklimat berhubung tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm di Batang Kali, malam ini.
Turut hadir Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan.
Tragedi tanah runtuh itu berlaku sekitar 2.42 pagi tadi, yang melibatkan runtuhan sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter telah meragut 22 nyawa setakat 7.10 malam tadi.
Seramai 12 mangsa masih hilang manakala 61 orang terselamat.
Justeru, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Pusat, berharap tragedi itu dijadikan iktibar dan orang ramai perlu berwaspada agar tragedi sama tidak berulang. -Malaysiapost

