Penduduk diminta jauhi lokasi penemuan buaya tembaga

0
2
foto kredit: WIKIPEDIA

ORANG ramai dinasihati supaya tidak menghampiri kawasan di mana seekor buaya tembaga dikesan berada atas jalan Kampung Air Hitam, Kuantan, kelmarin.

Pengarah PERHILITAN Pahang, Rozidan Md Yasin, berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan reptilia berkenaan masih berada di kawasan semak di situ yang kini ditenggelami air banjir.

Katanya, kakitangan PERHILITAN daerah sudah meninjau kawasan terbabit sebelum sebarang tindakan dibuat.

“Semalam kita dapati ramai remaja dan kanak-kanak berada di kawasan itu bagi melihat lebih dekat tempat buaya berkenaan ditemui.

“Saya juga ingin mengingatkan penduduk Kampung Air Hitam supaya lebih berhati-hati, paras air banjir yang meningkat di kawasan terbabit membolehkan buaya bergerak bebas dan muncul di mana sahaja,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan terus memantau kawasan terbabit secara berterusan dan kerjasama penduduk setempat amat diperlukan untuk memberi maklumat sekiranya reptilia berkenaan muncul lagi.

Rozidan berkata, PERHILITAN mengenal pasti terdapat 10 kawasan penempatan penduduk di daerah ini terletak berhampiran dengan Sungai Kuantan dan Sungai Belat yang sering dikejutkan dengan kemunculan buaya jenis tembaga.

Katanya, tiga kawasan yang hampir dengan Sungai Kuantan ialah Kampung Belukar, Kampung Kurnia dan Kampung Jawa.

Tujuh kawasan yang hampir dengan Sungai Belat ialah Kampung Seri Damai, Kampung Air Hitam, Taman Seri Inderapura, Kampung Razali, Kampung Belukar, Kampung Kurnia dan perumahan Sungai Isap.

Kelmarin, penduduk Kampung Air Hitam gempar selepas kemunculan buaya tembaga di atas jalan Kampung Air Hitam.

Penduduk percaya limpahan air parit di kiri kanan jalan akibat hujan berterusan mendorong kemunculan buaya di kawasan itu.

Susulan itu, PERHILITAN Pahang menghantar pasukannya untuk mengambil tindakan lanjut. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here