Tiada ADUN keluar Warisan, khabar angin berniat jahat – Shafie Apdal

0
2

WARISAN menafikan dakwaan ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertindak keluar daripada parti itu.

Sebaliknya, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata parti itu kekal utuh dan dakwaan berkenaan tidak benar dengan kesemua ADUN telah mengulangi kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada parti.

“Khabar angin dan cakap-cakap mengenai kononnya ada ADUN Warisan yang mahu keluar parti ditimbulkan semula sebagai percubaan berniat jahat pihak tertentu untuk melemahkan dan menjatuhkan parti.

“Semua ADUN Warisan juga telah mengulangi kesetiaan tidak berbelah bahagi mereka kepada parti.

“Ahli Majlis Tertinggi (AMT) serta wakil rakyat Warisan juga telah sebulat suara menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas sesi mesyuarat beliau bersama AMT dan ADUN daripada Warisan, hari ini.

Dalam satu kenyataan media berasingan, ADUN Darau, Azhar Matussin menafikan kononnya beliau bersama enam lagi wakil rakyat akan meninggalkan Warisan.

Katanya, beliau juga tidak pernah menandatangani sebarang dokumen Surat Akuan Bersumpah (SD) untuk bertukar parti.

“Perkara ini tidak betul. Saya tidak pernah menandatangani apa-apa SD bagi tujuan menukar sokongan kepada parti lain.

“Ini hanya sekadar mainan politik, sekali gus sengaja menimbulkan isu yang dilihat tidak masuk akal serta hanya mengelirukan rakyat khususnya di peringkat akar umbi,” katanya.

Azhar yang juga AMT Warisan berkata, ketika ini semua ADUN dalam parti kekal utuh bersama Mohd Shafie di samping menghormati kepercayaan Presiden parti kepadanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here