Shahrir pembayar cukai yang baik – Pegawai LHDN

0
1

SEORANG pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini, bahawa Tan Sri Shahrir Ab Samad yang berhadapan pertuduhan kes pengubahan haram adalah seorang pembayar cukai yang baik.

Timbalan Ketua Unit Audit Meja Selebriti, Penghibur Awam dan Pelbagai, Bahagian Penaksiran LHDN Tuan Zulkfli Tuan Lah, 48, dalam pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd ‘Afif Ali berkata, ia berikutan Shahrir yang juga bekas Ahli Parlimen Johor Bahru menghantar borang penaksiran cukai tanpa gagal sejak 2004.

Bagaimanapun, ditanya oleh Mohd ‘Afif sama ada pertuduhan ke atas Ahli Parlimen adalah sesuatu perkara yang berat, Tuan Zulkfli yang juga saksi pendakwaan ke-21 berkata, sesiapa sahaja akan merasa malu jika didakwa di mahkamah.

“Bagi saya mana-mana individu dan siapa-siapa sahaja akan malu dan tercalar maruah dengan apa yang berlaku (pendakwaan di mahkamah).

“Tidak kira orang berpangkat atau biasa. Betul memalukan (kalau didakwa sebagai Ahli Parlimen). Sebagai orang biasa macam saya pun akan rasa malu,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Shahrir, 72, didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Bekas Pengerusi Felda itu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

Ketika pemeriksaan semula oleh seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Adzmi, Tuan Zulkfli berkata, tidak adil seseorang dituduh di mahkamah jika tiada siasatan langsung dibuat.

Bagaimanapun, pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disahkan ada merujuk kepada saksi terbabit mengenai siasatan kes sebelum Shahrir didakwa pada 21 Januari 2020.

Saksi itu turut mengesahkan Shahrir tidak tampil membuat laporan kepada LHDN berhubung penerimaan RM1 juta itu, bagi menentukan sama ada ia adalah pendapatan yang perlu dikenakan cukai atau sebaliknya.

“Tanggungjawab pembayar cukai adalah laporkan pendapatan bergantung kepada kategori tertentu yang mana komisen dan wang sewaan juga adalah pendapatan.

“Kalau jumlah yang diterima sedikit contohnya RM1 tidak perlu lapor LHDN, kalau jumlahnya sampai RM1 juta perlu dilaporkan untuk LHDN tentukan layak dikenakan cukai atau tidak. Jumlah cukai dikenakan bergantung jumlah pendapatan,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung esok. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here