MENTERI Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berpendapat adalah tidak adil mendakwa beliau tidak menerima pandangan mengenai penganiayaan tahanan di Pusat Tahanan Kimanis di Sabah, yang disuarakan pihak Lawyers for Liberty.
Beliau berkata, pihak berkenaan perlu mengambil kira kedudukannya yang baru memulakan tugas dan perlu mendengar taklimat terlebih dahulu berhubung perkara yang dibangkitkan.
“Saya baru hari kelima masuk pejabat. Sangat tidak adil untuk mereka membuat kenyataan…beri peluang untuk saya dengar semua taklimat.
“Saya seorang yang sangat terbuka untuk menerima teguran dan pandangan. Jadi saya nak menyanggah (kenyataan) pihak Lawyers for Liberty. Mereka harus tengok rekod saya yang lepas. Jangan buat kesimpulan awal.
“Mereka sendiri pun tidak pernah mohon untuk jumpa saya. Macam mana mahu kata saya tak boleh terima pandangan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM), di Bukit Aman, hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Annuar Nasarah dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.
Saifuddin menegaskan, pada peringkat awal sebagai menteri yang baru memulakan tugas, adalah munasabah bagi pihaknya untuk mendengar taklimat terlebih dahulu.
“Ini bukan bermaksud kami menerima sepenuhnya (maklumat yang diberi). Tentu kami ada aspek yang kami akan beri pandangan.
“Kami akan menemui jabatan berkenaan, termasuk Jabatan Imigresen. Baru hari kelima masuk pejabat, Lawyers for Liberty boleh senang-senang sebut begitu, dia kena semak kenyataan dia sendiri,” katanya.
Terdahulu dalam satu kenyataan semalam, Pengarah Lawyers for Liberty, Zaid Malek, membidas jawapan Saifuddin terhadap dakwaan penganiayaan terhadap tahanan di Pusat Tahanan Kimanis di Sabah.
Beliau menyatakan adalah tidak boleh diterima dan bertentangan dengan tadbir urus yang baik bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menolak mentah-mentah aduan serius melalui klip video oleh seorang tahanan.
Minggu lalu, tular sebuah video memaparkan tahanan di Depoh Imigresen Kimanis, yang didakwa dilayan dengan teruk sehingga mengalami isu kesihatan. – Malaysiapost

