ADAM Adli Abd Halim menerima kritikan pertama sejak memegang jawatan Timbalan Menteri Belia dan Sukan berhubung kenyataannya yang mendakwa badan sukan di negara ini dibelenggu oleh gejala rasuah.
Sehubungan itu, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menggesa Adam Adli supaya menjustifikasikan dakwaan rasuah yang dikeluarkan beliau berhubung kait dengan badan sukan yang terdapat di negara ini.
Presiden MOM, Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria, berkata kenyataan sedemikian adalah tidak wajar, tidak adil dan prejudis kerana pelbagai badan sukan negara berjaya melahirkan juara dunia dalam sukan masing-masing selama berdekad-dekad, lapor Bernama.
“Sebagai badan penaung 57 Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA), MOM amat kecewa dengan kenyataan Adam Adli yang tidak mempunyai justifikasi dan tidak disokong oleh sebarang bukti.
“Sepatutnya Adam Adli hendaklah mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan sebelum mengeluarkan kenyataan menyeluruh yang mencerminkan pemahaman yang lemah mengenai struktur sedia ada,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Norza berkata beberapa NSA telah diiktiraf sebagai persatuan model dan mematuhi prinsip amalan terbaik tadbir urus yang baik.
Mohamad Norza berkata, NSA terbabit juga telah membantu meningkatkan profil sukan negara dengan melahirkan jaguh dunia yang digeruni dalam acara badminton, lumba basikal, terjun, boling tenpin dan silat.
“Meskipun NSA terbabit tidak sempurna dan beroperasi dalam kekangan, anda tidak boleh menyamakan kami dengan mereka yang kurang bertanggungjawab. Tidak dinafikan terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki namun tindakan mendakwa badan sukan mengamalkan rasuah adalah prejudis serta tidak matang,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dalam kenyataan sama menyebut adalah lebih baik jika Adam Adli mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan sebelum membuat kesimpulan.
Melontarkan pandangan sama, Presiden Persekutuan Wushu Malaysia (WFM) Datuk Chong Kim Fatt meluahkan kekecewaan terhadap kenyataan Adam Adli yang beliau anggap bersifat populis.
“Kenyataan itu tidak memberi manfaat kepada mana-mana pihak. Ia hanya bersifat merobek perasaan NSA yang sepatutnya adalah pihak berkepentingan terbesar dalam dunia sukan.
“Adalah tidak adil bagi mereka yang telah bertungkus-lumus dan bekerja siang malam untuk membuahkan kejayaan dalam acara sukan masing-masing,” katanya. – Malaysiapost

