KHAIRY Jamaluddin Abu Bakar hanya memberikan jawapan ringkas mengenai kemungkinan beliau akan bertanding jawatan Presiden Umno dalam pemilihan parti itu yang bakal diadakan dalam masa enam bulan ini.
Timbalan Ketua Umno Bahagian Rembau itu bagaimanapun tidak mengesah atau menidakkan akan bertanding jawatan nombor satu partinya itu.
“Let see (tengok nanti),” katanya ringkas sambil ketawa ketika ditanya wartawan mengenai perkara itu.
Beliau yang juga bekas Menteri Kesihatan berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan nota tugas kepada Menteri Kesihatan yang baru dilantik Dr Zaliha Mustafa di Putrajaya, hari ini.
Sebelum ini, Khairy secara terbuka menyatakan hasrat untuk menjadi Presiden Umno satu hari nanti.
Ketika berceramah pada kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu, Khairy yang juga calon Barisan Nasional (BN) Sungai Buloh sering menyatakan hasratnya untuk menjadi peneraju Umno sekali gus menjadi Perdana Menteri yang akan membangunkan negara pada masa hadapan.
Pada pemilihan Umno 2018, Khairy pernah mencabar jawatan Presiden namun tewas kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Pada pemilihan itu, Ahmad Zahid menang dengan 93 undi meninggalkan Khairy jauh dibelakang dengan 51 undi dan Tengku Razaleigh Hamzah 23 undi. – Malaysiapost

