PGC Bomba Pahang sudah sedia

0
1

Ben Ibrahim

PASUKAN Gerak Cepat (PGC) Bomba Pahang sudah bersedia untuk berdepan cabaran Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.

Sebanyak enam PGC ditempatkan di enam daerah yang dikenalpasti paling berisiko banjir di Pahang.

Pengarah Bomba Pahang, Datuk Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, pasukan itu ditempatkan di Maran, Temerloh, Pekan, Bentong, Raub dan Kuantan.

“Bidang penugasan mereka tidak tertakluk di kawasan atau lokasi penempatan itu saja, mereka boleh digerakkan ke mana-mana lokasi berdasarkan keperluan.

“Setiap PGC mempunyai enam pegawai dan anggota dan mereka dilengkapi peralatan menyelamat serta kenderaan, termasuk bot bagi memudahkan operasi.

“Pasukan ini ditubuhkan khusus untuk operasi menyelamat mangsa banjir, manakala pasukan lain boleh menumpukan kepada tugasan seperti kes lemas, kemalangan jalan raya dan kebakaran,” katanya dalam sidang media di Kuantan, hari ini.

Ketika diminta mengulas mengenai situasi terkini banjir di Pahang, Wan Mohammad Zaidi berkata, setakat ini keadaan banjir di Pahang masih terkawal dan pihaknya sentiasa bersedia untuk digerakkan bagi memberikan bantuan.

Katanya, persediaan dilakukan Bomba Pahang bukan sahaja memastikan semua aset dalam keadaan baik dan boleh digunakan, tetapi turut melihat kepada jumlah pegawai dan anggota bagi tujuan penugasan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here