TAN Sri Annuar Musa mengesahkan telah menerima surat perlucutan keahlian Umno, hari ini.
Bekas Ketua Umno Bahagian Ketereh itu berkongsi perkara tersebut dalam hantaran di Facebook miliknya yang memaklumkan beliau menerimanya secara terbuka dan berlapang dada.
“Alhamdulillah, baru hari ini saya menerima surat makluman perlucutan keahlian Umno dari Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan.
“Surat hanya menyebut seksyen-seksyen berkaitan tanoa sebutan spesifik perbuatan atau tuduhan yang terkait dengannya.
“Apapun saya menerimanya secara berlapang dada. Saya ucapkan terima kaseh,” katanya di Facebook, hari ini.
Jumaat lalu, Umno mengesahkan Annuar antara tiga pemimpin akar umbi parti itu yang dipecat keahlian masing-masing yang diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT).
MKT Umno mengambil tindakan itu mengikut fasal 10.6 Perlembagaan, yang memberi hak kepada parti untuk melucutkan keahlian mana-mana ahlinya termasuk jika seseorang ahli Umno itu terbukti melanggar Fasal 20.9 serta perkara mengenai tata etika ahli.
Dalam pada itu, Annuar memaklumkan beliau akan menjawab surat perlucutan keahlian Umno itu dalam masa terdekat.
“Insyaallah, sehari dua lagi saya akan menjawab surat yang saya terima,” katanya.
Kelantangan Annuar mengkritik kepimpinan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, khususnya berkaitan usaha jajaran baharu antara Barisan Nasional (BN) serta Pakatan Harapan (PH) telah mengundang padah sehingga beliau dipecat sebagai ahli parti. -Malaysiapost

