Ahmad Zahid dedah ‘seseorang’ selamatkan Umno daripada diharamkan

0
1

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan parti itu pernah cuba diharamkan selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), namun ‘dipatahkan’ oleh seseorang.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), bagaimanapun tidak mendedahkan identiti sebenar individu yang menyelamatkan Umno daripada diharamkan itu.

“Saya telah bagi tahu daripada awal-awal bahawa matlamat penubuhan Bersatu jelas secara tersurat dan tersirat untuk membunuh Umno. Jelas bahawa di dalam PRU-15, matlamat ini sebenarnya jauh daripada sasaran mereka.

“Kita harap, ini akan menimbulkan kesedaran dalam kalangan rakyat, khususnya ahli-ahli akar umbi bahawa tujuan halus mereka itu mesti ditolak ahli-ahli Umno keseluruhannya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan ulangtahun ke-10 Persatuan Usahawan Wanita Cina Malaysia (WCWEA) malam tadi.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang berkata matlamat dan objektif penubuhan Bersatu untuk menggantikan Umno tercapai, selepas menang 70 daripada 112 kerusi majoriti Melayu pada PRU-15 yang lalu.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata matlamat penubuhan lebih jauh daripada itu sebenarnya, apabila buat pertama kalinya ketika seseorang menjadi Menteri Dalam Negeri, yang di atas mejanya telah ada surat untuk mengharam dan membatalkan Umno.

“Namun kita telah mengucapkan terima kasih kepada seseorang yang telah dapat membatalkan hasrat itu,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai usul agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno tidak dipertanding dalam pemilihan parti akan datang, beliau menegaskan parti itu sedia menerima apa jua usul, sekiranya ia dapat memperkukuh parti.

Beliau berkata, pelbagai aspek akan dipertimbang, bukan sahaja pandangan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang mengesyorkan cadangkan berkenaan.

“Itu pendapat peribadi Datuk Seri Jamal Md Yunos dan kita akan terima apa saja usul yang dapat memperkukuh Umno.

“Yang lebih penting, kita dapat merapatkan saf dalam kalangan kita setelah kita terpukul dengan kuatnya dalam PRU-15.

“Kita akan mengkaji semua aspek sebab yang penting adalah bagi kita merapatkan saf kepimpinan,” katanya. – Malaysiapos

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here