Belanjawan Johor 2023 diluluskan

0
1

BELANJAWAN Johor 2023 yang bertemakan ‘Maju Johor: Makmur Bersama Rakyat’ diluluskan hari ini dengan sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi telah membentangkan belanjawan yang berjumlah RM1.731 bilion itu pada 1 Disember lalu dan kemudian dibahaskan sebelum diluluskan sebulat suara selepas sesi penggulungan hari ini.

Belanjawan dibentangkan kali ini adalah belanjawan lebihan RM2.44 juta, selepas dua tahun berturut-turut Johor merekodkan belanjawan defisit pada 2021 dan 2022.

“Syukur Alhamdulillah. Saya baru sahaja menyampaikan ucapan penggulungan di sidang Dewan Negeri Johor yang Ke-15.

“Belanjawan Johor 2023 yang bertemakan ‘Maju Johor: Makmur Bersama Rakyat’ juga telah diluluskan dengan sokongan majoriti ADUN Johor,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, dalam merealisasikan belanjawan berkenaan, kad pelaporan kemajuan atau ‘progress report card’ bagi semua program dan projek yang dirancang serta dilaksana akan turut dikeluarkan setiap empat bulan.

“Terima kasih kepada semua ADUN yang telah membahas dan membawa suara rakyat di kawasan masing-masing, demi kemajuan negeri dan kemakmuran Bangsa Johor,” katanya.

Ketika membentangkan belanjawan berkenaan Onn yang juga ADUN Machap berkata, Johor diunjurkan mengutip hasil dianggarkan sebanyak RM1.734 bilion manakala perbelanjaan pula dianggarkan berjumlah RM1.731 bilion.

Belanjawan Johor 2023 membabitkan sejumlah RM69.51 juta perbelanjaan tanggungan manakala bakinya, RM1.662 bilion adalah perbelanjaan bekalan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here