Azam Baki harus disiasat sebelum menyiasat orang lain – Khairuddin

0
1
Khairuddin Abu Hassan

INTEGRITI dan prinsip perkhidmatan Tan Sri Azam Baki selaku Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diragui kerana tidak berani bertindak di bawah kerajaan yang memerintah negara ketika ini.

Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, berkata kerajaan harus menyiasat integriti Azam terlebih dahulu sebelum Ketua Pesuruhjaya SPRM berkenaan hendak siasat orang lain.

“Saya amat curiga dengan integriti dan prinsip perkhidmatan Azam Baki selaku Ketua Pesuruhjaya SPRM. Beliau kelihatan tidak berani bertindak di bawah mana-mana rejim atau kerajaan masa kini yang memerintah negara.

“Beliau kelihatan mengikut telunjuk dan membela sesiapa saja yang menjadi tokoh pemimpin masa kini sererusnya senantiasa cuba untuk melindungi seseorang tokoh kerajaan masa kini walaupun didapati bersalah,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, sebagai contoh dalam kes skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Azam didakwa cuba membela bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan membuat pelbagai kenyataan yang tidak berasas.

“Pada waktu itu Azam Baki mengesahkan beliau sudah bertemu secara peribadi dengan penderma kerabat Diraja dari Timur Tengah yang menderma wang sejumlah RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi bekas Perdana Menteri keenam.

“Sesungguhnya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) harus siasat Azam secara komprehensif dan rombakan secara berskala besar harus dijalankan ke atas badan SPRM,” katanya.

Beliau mendakwa, banyak lagi perkara-perkara lain yang menunjukkan bahawa Ketua Pesuruhjaya SPRM itu adalah seorang yang berkhidmat secara tidak jujur dan tidak amanah.

“Sesiapa saja yang menjadi ‘Kerajaan’ masa kini Azam dan SPRM kelihatan akan terus membantu untuk melindungi kesalahan-kesalahan yang dilakukan pada waktu itu.

“Kerajaan PH harus melakukan agenda transformasi serta reformasi ke atas institusi-institusi dan badan-badan penguatkuasa undang-undang yang tidak berprinsip,” katanya.

Khairuddin yang juga Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) Wilayah Persekutuan berkata, sekiranya badan penguatkuasaan undang-undang tidak dibersihkan secara total ianya akan menyukarkan agenda untuk melawan rasuah di negara ini.

“Pejuang dan GTA Wilayah Persekutuan menyokong penuh sebarang daya-usaha murni pihak kerajaan untuk membanteras segala bentuk salahlaku dalam pentadbiran negara.

“Apa saja yang dilakukan baik oleh kerajaan kami akan terus membantu serta menyokongnya. Tetapi sekiranya kerajaan melakukan apa saja bentuk kesalahan kami akan lawan secara bermatian untuk menegakkan kebenaran,” katanya.

Beliau berkata, seluruh pentadbiran negara harus ‘dicuci’ secara habis-habisan demi kesejahteraan bersama bagi membina semula negara Malaysia baharu.

“Amalan rasuah serta salah guna kuasa mesti dihapuskan dan Pejuang serta GTA Wilayah Persekutuan sanggup berganding bahu dengan kerajaan bagi mencapai matlamat murni ini secara bersama. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here