PRESIDEN MUDA, Syed Saddiq Abdul Rahman akan terus fokus membawa suara rakyat di Parlimen walaupun tidak dilantik dalam barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan.
Menurut Ahli Parlimen Muar itu, pelantikan Jemaah Menteri adalah kuasa prerogatif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, beliau menghormati mandat berkenaan dan mengucapkan tahniah kepada semua Menteri dan Timbalan Menteri yang dilantik dalam kerajaan baharu itu.
“Sejujurnya ada hikmah MUDA tidak dimasukkan dalam Kabinet. Ini memberi peluang dan ruang lebih besar membawa suara rakyat di Parlimen kerana tiada kuasa memisahkan antara MUDA dengan rakyat.
“Pada masa sama, saya dapat fokus membersihkan nama dalam mahkamah.
“Malah, pada perjumpaan dengan Perdana Menteri, saya tekankan tidak mahu kes saya digugurkan kerana ingin keadilan ditegakkan dalam mahkamah,” katanya menerusi video yang dimuat naik dalam Facebooknya.
Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata, masa untuk berpolitik sudah tamat dan mahu semua wakil rakyat memberi fokus berkhidmat kepada rakyat.
Syed Saddiq kini berdepan kes mahkamah membabitkan pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram.
Malam tadi, Perdana Menteri mengumumkan senarai 27 Timbalan Menteri kepada Kabinet Kerajaan Perpaduan.
Pelantikan Timbalan Menteri berkenaan menyusul pengumuman Kabinet 28 Menteri pada 2 Disember lalu. – Malaysiapost

