Saya masih dalam Bersatu – Ronald Kiandee

0
1

AHLI Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee masih kekal berada dalam Bersatu di Sabah.

Dengan pendirian itu, Naib Presiden Bersatu itu menjadi wakil tunggal Bersatu di Sabah setelah Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pemimpin Bersatu Sabah keluar parti berkuat kuasa hari ini.

“Bersatu di Sabah masih kekal dan kita akan membina semula parti ini. Saya masih Ketua Bahagian Bersatu Beluran,” katanya lapor Utusan Malaysia.

Menurutnya, pemimpin Bersatu Sabah telah mengadakan perjumpaan pada Jumaat lalu, namun beliau tidak menerima sebarang jemputan atau dimaklumkan mengenai itu.

Tegasnya, tindakan yang diambil oleh Hajiji itu tidak menyebabkan Bersatu di Sabah berkubur.

Beliau turut menyatakan keyakinan untuk membangunkan semula parti itu di Sabah pada bila-bila masa.

“Saya tahu sesetengah ketua bahagian mempunyai pandangan berbeza mengenai keputusan (keluar parti) itu. Tetapi mereka berhak memilih parti yang ingin disertai demi kelangsungan politik mereka,” katanya.

Jelas beliau, pemimpin-pemimpin Bersatu Sabah berhak membuat apa-apa keputusan yang dirasakan terbaik untuk mereka.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Ronald satu-satunya pemimpin Bersatu yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) manakala semua pemimpin yang lain bertanding di bawah logo Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Semasa GRS didaftarkan secara rasmi pada Mac lalu, Bersatu antara salah sebuah parti yang membentuk gabungan yang kini disertai lima parti.

GRS dianggotai oleh Bersatu, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here