PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada wakil parti itu yang diumum sebagai timbalan menteri Kerajaan Perpaduan, malam tadi.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, semua wakil BN yang dilantik dalam Kerajaan Perpaduan mempunyai berpengalaman dan kepakaran untuk berkhidmat kepada negara.
“Tahniah diucapkan kepada para pemimpin Barisan Nasional yang telah ditaklifkan amanah sebagai Timbalan Menteri Kerajaan Perpaduan.
“Pengalaman dan kepakaran dipertaruhkan untuk menyantuni kehendak dan aspirasi rakyat Malaysia,” katanya menerusi Facebook.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berharap kepelbagaian dan perbezaan yang ada diraikan dengan semangat untuk mencari kesepakatan membina negara bangsa yang berjaya.
Terdahulu, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan DAP terus menguasai barisan kabinet bagi jawatan Timbalan Menteri yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, malam tadi.
Berdasarkan senarai penuh, ketiga-tiga parti masing-masing mengisi sebanyak enam jawatan Timbalan Menteri menjadikan jumlah sebanyak 18 Ahli Parlimen dilantik.
Baki jawatan tersebut seterusnya diisi PKR dengan lima Timbalan Menteri manakala, Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Amanah masing-masing mengisi jawatan dua Timbalan Menteri. – Malaysiapost

