‘Ambo reda dipecat’ – Annuar Musa

0
1

BEKAS Ketua Umno Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan pemecatannya sebagai ahli Umno satu ugutan kepada ahli parti yang lantang bersuara.

Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia itu bagaimanapun reda sekiranya keputusan berkenaan membawa kebaikan kepada Umno.

“Umno pecat saya supaya orang lain takut, kalau pecat saya orang lain tak terpecat tak apa, ambo reda,” katanya ketika berucap mengadakan pertemuan dengan pemimpin Umno Bahagian Ketereh, hari ini.

Ucapan Annuar disiarkan secara langsung di Facebooknya.

Dalam pada itu, Annuar berharap pemimpin Umno lain seperti Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin tidak menerima nasib sama sepertinya.

Pada 8 Disember lalu, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno memutuskan untuk memecat Annuar yang juga bekas Setiausaha Agung Umno.

Umno turut memecat Ketua Wanita Umno Arau, Datuk Shamsiah Yasin, isteri bekas Ketua Umno Arau, Datuk Seri Shahidan Kasim.

Selain itu, turut dipecat ialah Ketua Wanita Umno Maran, Datin Seri Fatimah Kassim, yang juga isteri Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib.

Menurut Annuar, pemecatannya juga dibuat tanpa dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin parti terlebih dulu.

Annuar juga yakin pemecatannya dibuat kerana kritikannya terhadap pucuk pimpinan Umno, namun beliau tidak benci atau ada isu peribadi terhadap Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, selain berbeza pendapat.

“Saya dipecat tanpa lalu jawatankuasa disiplin, maknanya besar sungguh kesalahan ambo tu, lebih (besar) daripada kesalahan Datuk Seri Anwar Ibrahim dulu.

“Kesalahan ambo lebih besar daripada salah Tan Sri Muhyiddin Yassin dulu, pakai tak payah bicara hakim terus jatuh hukum.

“Kebetulan ambo salah masuk lorong. Ambo masuk lorong (cadang) Presiden kena letak jawatan tolong bagi dekat orang lain dulu supaya kita (Umno) boleh gagah (kuat) semula.

“Menyesal…tidak, ambo tak menyesal sebab perangai ambo suka bercakap betul (benar). Tak ada (hal) peribadi, tak ada kebencian cuma mencadangkan (Presiden letak jawatan),” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here