Umno diingatkan jangan kecewakan mereka yang setia dengan parti – Hishammuddin

0
1

MESKIPUN sebelum ini lantang menolak kerjasama Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH), namun Datuk Seri Hishammuddin Hussein berikrar kekal bersama Umno.

Tegas Ahli Parlimen Sembrong yang juga Bendahari BN, beliau akan terus berjuang dan istiqamah bersama Umno, dulu kini dan selamanya.

“Sejak keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), saya kini mempunyai lebih banyak masa untuk terus menyumbang kepada perjuangan tanpa berada dalam Kabinet.

“Buat rakan-rakan pimpinan khasnya daripada BN yang menganggotai Kabinet, saya ucapkan selamat maju jaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengakui tugas berat menanti kerajaan baharu, Hishammuddin mendoakan agar segala ikhtiar oleh mereka yang diberikan amanah serta tanggungjawab, dipermudahkan.

Dalam pada itu, katanya, beliau kini sedang mengkaji dan meneliti keputusan kerusi Parlimen Padang Serai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman untuk melihat mood serta sentimen rakyat terhadap sokongan yang diberikan.

“Penting untuk memahami dinamik sokongan tersebut terutama dalam mengusahakan kelangsungan dan masa depan parti.

“Apatah lagi, ia banyak bergantung kepada ahli-ahli akar umbi yang selama ini setia kepada perjuangan serta penerimaan rakyat terhadap BN,” katanya.

Justeru, beliau mahu BN memberi perhatian dan jangan sesekali mengecewakan mereka yang selama ini setia kepada parti.

Walaupun tidak mudah, Hishammuddin berkata, mereka harus terus melangkah ke hadapan untuk berjuang.

“Saya tidak mahu menunding jari menyalahkan sesiapa dan saya juga tidak menyalahkan parti.

“Saya orang perjuangan dan akan tetap istiqamah demi Umno, dulu, kini dan selamanya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here