Mesyuarat MKT : Umno gesa segera tubuh RCI terhadap Tommy, TH

0
2

MAJLIS Kerja Tertinggi (MKT) Umno bersetuju supaya kerajaan menyegerakan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ke atas bekas peguam negara Tommy Thomas dan Tabung Haji (TH).

Ahli MKT Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi, berkata RCI itu termasuk mengenai buku memoir “My Story: Justice in the Wilderness” tulisan Tommy.

“Kita juga membangkitkan supaya diteruskan RCI terhadap tommy dan Tabung Haji (juga) RCI buku Tommy dan juga tidakan terhadap bekas gabenor bank negara, Zeti Akhtar Aziz,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat MKT di Menara Dato’ Onn malam tadi.

Mesyuarat dipengerusikan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri.

Sementara itu, Mohd Puad memaklumkan mesyuarat MKT Umno malam ini memutuskan untuk memecat dua ketua wanita bahagian dan seorang ketua bahagian Umno.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan mereka yang bakal dikenakan tindakan disiplin.

Katanya, keputusan untuk memecat tiga individu berkenaan dibuat kerana mencemuh parti dan presiden parti.

“Tiga orang, dua ketua wanita bahagian dan satu ketua bahagian kerana mencemuh parti serta berkempen (untuk pihak lawan),” katanya.

Ditanya mengenai saranan supaya siasatan dilakukan terhadap dakwaan penyelewengan dana awam sebanyak RM600 billion oleh pemimpin Perikatan Nasional (PN).

Mohd Puad berkata, MKT menyerahkan kebijaksanaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menentukan.

Pada perkembangan sama, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan dua lagi Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Mahdzir Khalid tidak hadir ke mesyuarat MKT, malam ini.

Beliau berkata, Ismail Sabri memohon maaf kerana tidak dapat hadir memandangkan Ahli Parlimen Bera itu perlu menghadiri program lain pada masa yang sama.

Namun begitu, Mohamed Khaled tidak memperincikan sebab Mahdzir tidak ikut sama dalam mesyuarat pada malam ini.

Terdahulu, Menara Dato’ Onn menjadi tumpuan apabila Mesyuarat MKT berlangsung malam ini.

Antara barisan yang hadir, kemunculan Datin Seri Rosmah Mansor menimbulkan persoalan ramai.

Turut hadir Datuk Seri Ahmad Said yang juga merupakan Pengerusi Umno Terengganu, Datuk Ab Rauf Yusoh (Pengerusi UMno Melaka), Datuk Shamsul Anuar Nasarah dan Datuk Razali Ibrahim.

Selain itu, turut kelihatan Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Datuk Dira Abu Zahar. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here