SEBANYAK 1,935 kes demam denggi direkodkan sepanjang 27 November hingga 3 Disember berbanding 1,734 kes pada minggu sebelumnya.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia menunjukkan peningkatan sebanyak 11.6 peratus sepanjang minggu lalu.
Menurutnya daripada 201 kes itu sebanyak dua kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-48 tahun ini.
“Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga kini adalah 58,239 kes berbanding 24,049 kes bagi tempoh sama tahun lalu iaitu peningkatan sebanyak 142.2 peratus.
“Sebanyak 39 kematian akibat komplikasi denggi dilaporkan berbanding 19 kematian bagi tempoh sama pada tahun 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 53 lokaliti hotspot dilaporkan pada minggu ini berbanding 54 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya dengan 24 hotspot di Selangor, Sabah (16), Kuala Lumpur dan Putrajaya (10) serta masing-masing satu lokaliti di Pulau Pinang, Perak dan Sarawak.
Dalam pada itu, beliau berkata, survelan chikungunya merekodkan sebanyak 21 kes pada ME ke-48 dengan 20 kes di Pulau Pinang dan satu kes di Selangor.
“Jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 731 kes.
“Bagi survelan zika, sebanyak 2,003 sampel darah dan 17 sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif,” katanya. – Malaysiapost

