Saya tak pernah tandatangan SST projek tebatan banjir, kata Tuan Ibrahim

0
2
KUALA LUMPUR, 18 November 2020 - Timbalan Presiden Pas yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ketika sesi wawancara bersama Mingguan Malaysia di Ibu Pejabat PAS, Jalab Raja Laut di sini hari ini. Gambar FAUZI BAHARUDIN Pemberita Fahmi

BEKAS Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, menegaskan tidak pernah menandatangani sebarang Surat Setuju Terima (SST) kepada mana-mana syarikat berhubung projek tebatan banjir.

Beliau turut mempersoal jumlah peruntukan RM7 bilion yang hendak dikaji semula oleh Kerajaan Persekutuan seperti diumumkan Perdana Menteri, baru-baru ini, berikutan peruntukan asal adalah RM15 bilion.

“Setakat ini, tidak ada SST yang dikeluarkan kepada mana-mana syarikat. Jadi, tidak timbul soal hendak batal sebab ia tidak lulus dan belum dimulakan lagi, selain saya tidak pernah menandatangani peruntukan RM15 bilion ini.

“Saya juga tidak pasti dari mana datangnya jumlah RM7 bilion yang dibangkitkan ini,” katanya di Kota Bharu, hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, setiap kali banjir, negara mengalami kerugian antara RM6 bilion hingga RM7 bilion dan disebabkan itu, isu tebatan banjir perlu diberi perhatian yang serius.

Timbalan Presiden PAS itu turut memberi contoh projek tebatan banjir Sungai Golok perlu disegerakan kerana jika tidak, Rantau Panjang dan Pasir Mas, Tumpat akan dilanda banjir setiap tahun.

“Ketika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri, beliau melihat perlu kepada dana yang besar diperuntukkan sebanyak RM15 bilion, namun ia belum dilaksanakan dan baru dalam proses.

“Keutamaan diberikan kepada perkara yang perlu diberi perhatian. Ia bukan sahaja membabitkan tebatan banjir, malah naik taraf sistem.

“Sebagai contohnya, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) perlu dinaik taraf, termasuklah amaran awal banjir kepada pengguna dan ia membabitkan satu pakej yang besar, namun satu pun belum diluluskan lagi,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilaporkan mengarahkan beberapa kelulusan projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion tidak diteruskan.

Ujar Anwar, ia membabitkan kelulusan secara rundingan terus yang diluluskan sebelum ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan dilaporkan berkata, pegawai kementerian itu sudah diminta untuk meneliti semula kelulusan yang diberikan bagi memastikan ia mematuhi prinsip ketelusan dan peraturan yang ditetapkan.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, hampir setiap tahun negeri di Pantai Timur mengalami banjir sejak berpuluh-puluh tahun lalu dan seolah-olah tidak ada langkah penyelesaian dilaksanakan.

Bagaimanapun, beliau berkata, projek tebatan banjir fasa pertama sudah dilaksanakan dan berharap kerajaan baharu dapat meneruskannya.

“Secara peribadi, saya rasa perkara ini (projek tebatan) perlu diteruskan demi kepentingan rakyat dan kepentingan negara untuk mengurangkan bencana, kematian serta kerugian.

“Jika ia tidak dilaksanakan, negara akan mengalami kerugian hampir RM7 bilion setahun. Namun, bergantung kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meneruskannya ataupun tidak,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here