Kerajaan Perpaduan tanpa politik dendam

0
3

DJAAFAR S

PERTAMA sekalinya, tahniah dan syabas diucapkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas perlantikan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Amanah yang begitu berat menanti beliau bagi menerajui Malaysia yang sedang pulih dari belenggu pandemik Covid-19 dan kecelaruan politik dalam beberapa tahun belakangan ini.

Ini adalah kali kedua berturut-turut Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin beliau diberikan mandat untuk memegang tampuk pemerintahan negara selepas selesai Pilihan Raya Umum.

Sudah pasti ramai yang mengingati kali pertama era PH memerintah, terdapat begitu banyak kepincangan dan permasalahan sehingga ramai yang menganggap kerajaan digelar “Kerajaan Gagal”, tempoh 22 bulan PH memerintah adalah tempoh terburuk oleh sebuah kerajaan yang pernah dibentuk di Malaysia.

Kali ini, diharapkan Anwar dan rakan-rakannya di PH telah belajar dari kesilapan lampau. Segala kelemahan dan kesilapan dalam pentadbiran yang lalu mestilah tidak diulang lagi.

Tambahan pula, tatkala negara masih cuba untuk bangkit dari kelesuan ekonomi yang melanda di seluruh dunia, kerajaan perpaduan yang dicanang beliau mestilah benar-benar menggenggam konsep perpaduan itu bagi memacu negara ke arah yang lebih baik.

Tidak ada ruang untuk kesalahan lalu diulang semula kerana ia boleh mengakibatkan kerosakan kekal kepada negara.

Antara masalah terbesar kegagalan 22 bulan pentadbiran PH dahulu adalah amalan politik dendam bagi memadam legasi pemerintahan sebelumnya, biarpun terdapat begitu banyak manfaat yang sedang atau bakal dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia.

Pembatalan projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR), penundaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan projek Laluan Lingkaran Aliran Transit Massa 3 (MRT3), penurunan taraf Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan pemendekkan tempoh operasi Pusat Transformasi Bandar (UTC).

Selain pembaziran penjenamaan semula program dahulu seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) menjadi Bantuan Sara Hidup (BSH) dan banyak lagi keputusan-keputusan yang tidak memberi manfaat kepada negara ini menyebabkan begitu banyak pembangunan dirancang terbantut.

Ini juga merencatkan peluang pelaburan baharu ke dalam negara kerana terdapat kebimbangan yang begitu kuat dalam kalangan mereka bahawa terdapat risiko yang sangat besar jika berlakunya perubahan kerajaan di Malaysia.

Mengambil kira Malaysia pernah melalui tiga Perdana Menteri berbeza dalam tempoh kurang lima tahun, sudah pastilah keraguan mereka ini semakin hebat.

Melihatkan negara-negara serantau lain seperti Singapura, Indonesia dan Thailand semakin agresif menawarkan pelbagai insentif untuk menarik pelaburan, kita tidak boleh membenarkan ketidakmatangan politik yang akan merugikan negara.

Justeru, suara-suara sumbang yang mahu pelaksanaan polisi dan projek terdahulu dihentikan tanpa ada alasan kuat mestilah dinafikan.

Antara yang banyak dipersoalkan dalam kalangan penyokong PH kini adalah keabsahan pelaksanaan 5G di Malaysia oleh Digital Nasional Berhad (DNB) yang dikatakan tidak melalui proses tender.

Walhal, DNB ini hakikatnya adalah syarikat milikan penuh Kementerian Kewangan, maka untuk apa keperluan proses tender itu?

Selanjutnya, Ericsson yang dipilih selaku pembekal perkakasan tunggal untuk 5G, telah melalui proses saringan yang ketat dan telus bersama-sama pemain industri lain yang berminat sebelum dipilih.

Segala maklumat ini telah pun dibentangkan untuk ahli parlimen yang lalu. Jadi saya tidak nampak keperluannya untuk aktiviti DNB dihentikan dan seterusnya, melambatkan proses pelaksanaan 5G dalam negara.

Melihatkan kepada prestasi semasa DNB, kita sekarang berada pada landasan yang tepat untuk memastikan kesiapsiagaan infrastruktur komunikasi kita menarik untuk memastikan pelabur yang memerlukan kemudahan 5G memilih Malaysia berbanding negara serantau lain.

Ini dibuktikan dengan kelajuan muat turun dan muat naik menggunakan 5G di Malaysia kini adalah dalam kelompok dua terbaik dunia.

Penyedia perkhidmatan rangkaian di Malaysia semuanya pun sudah bersetuju dengan modus operandi rangkaian borong tunggal (SWN) melalui DNB ini. Maka, untuk apa kita hentikan pelaksanaan polisi yang tidak bermasalah ini, malah memberikan begitu banyak manfaat.

DNB ini hanyalah satu dari pelbagai polisi dan projek terdahulu yang mungkin menjadi mangsa politik dendam. Sekiranya dihentikan, ini akan memberi isyarat kepada pelabur bahawa terdapat lebih banyak projek lain yang akan dihentikan juga.

Suka untuk saya menyeru Perdana Menteri mengambil jalan matang dengan meneruskan sahaja perkara yang memberi manfaat kepada rakyat Malaysia tanpa mengambil kira asal legasinya daripada sesiapa pun.

Tidak mudah sebenarnya dalam landskap politik Malaysia ini, lebih-lebih lagi dalam keadaan kerajaan yang tiada majoriti jelas, untuk membuat keputusan yang tidak bersifat populis semata-mata, sebaliknya berpaksikan manfaat umum kepada negara dan penduduknya.

Keputusan pengekalan DNB untuk menyelesaikan amanah mereka dalam pelaksanaan 5G, biarpun terdapat desakan hebat daripada pelbagai pihak, kawan mahupun lawan, diharapkan adalah permulaan kepada sebuah pentadbiran yang jelas dalam hala tujunya bagi menerajui negara menjadi maju dan diyakini pelabur.

Hentikan pengubahan keputusan-keputusan dasar penting hanya semata-semata ingin melenyapkan jasa kerajaan sebelumnya.

Rakyat Malaysia selaku pemegang taruh utama negara ini mestilah sentiasa diletakkan sebagai keutamaan dalam setiap keputusan yang dibuat.

Pastikan kerajaan perpaduan ini benar-benar memenuhi aspirasi yang dibawanya tanpa ada matlamat untuk melunaskan dendam.

Penulis adalah jurutera telekomunikasi

(Artikel ini merupakan pandangan penulis dan tidak mewakili Malaysiapost)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here