Kekerapan tren akan ditambah kepada 3 minit mulai tahun depan

0
2

KEKERAPAN perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya akan ditambah kepada tiga minit berbanding lima minit bermula tahun depan bagi memastikan perkhidmatan yang lebih cepat dan selesa.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, Prasarana telah memberikan komitmen termasuk untuk mempercepatkan penyelenggaraan tren sedia ada dan penambahan sebanyak 19 set tren.

“Secara keseluruhan ada 56 set tren namun yang beroperasi setakat ini hanya 38 unit, selebihnya dalam proses penyelenggaraan. Itu sesuatu yang tidak memuaskan. Kita mahu secara optima.

“Bagaimanapun dalam tempoh ini kita tidak dapat beri komitmen untuk turunkan kepada tiga minit. Kalau ada tren tambahan kita boleh percepatkan kurang lima minit,” katanya selepas lawatan kerja ke Prasarana hari ini.

Loke yakin perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya dijangka pulih dan beroperasi pada kapasiti penuh dengan 48 set keretapi menjelang suku ketiga 2023.

“Setakat ini, perkhidmatan kami tidak stabil sepenuhnya dan saya minta maaf untuk itu. Kita juga akan memastikan masalah teknikal dan penyelenggaraan perlu diberikan perhatian secara serius,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, laporan lengkap membabitkan penutupan perkhidmatan LRT Kelana Jaya pada bulan lalu akan diketahui dalam tempoh dua minggu lagi serta didedahkan kepada orang ramai sebaik siasatan siap dijalankan.

“Satu laporan sudah dikemukakan kepada pihak kementerian dan akan diangkat kepada Jemaah Menteri.

“Prasarana melantik sebuah syarikat bebas untuk melaksanakan siasatan dan laporan awal sudah diberikan kepada saya,” katanya.

Bulan lalu, sebanyak 16 stesen LRT Kelana Jaya ditutup termasuk Taman Bahagia, Taman Paramount, Asia Jaya, Taman Jaya, Universiti, Kerinchi, Abdullah Hukum dan Bangsar yang menyebabkan keresahan pengguna. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here