Maritim Malaysia gagalkan cubaan seludup 8,000 liter diesel

0
1

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kuala Perlis menahan sebuah bot nelayan Kelas C di perairan Kuala Perlis, kelmarin yang membawa 8,000 liter minyak diesel dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.

Dalam kejadian jam 8.13 malam itu, turut ditahan tiga lelaki warga tempatan berusia 22 hingga 38 tahun termasuk seorang tekong.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain, berkata tangkapan adalah hasil maklumat risikan dan intipan yang dilakukan oleh Unit Risik Zon Maritim Kuala Perlis (ZMKP).

“Bot nelayan kelas C tersebut ditahan pada kedudukan lebih kurang 1.2 batu nautika dari barat muara Kuala Perlis, Perlis ketika bot ronda Maritim Malaysia sedang dalam rondaan Op Aman.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan telah diubah suai dengan menambah ruang tangki minyak di bawah rumah kemudi yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.

“Anggaran minyak diesel yang dirampas adalah sebanyak 8,000 liter dengan nilai RM16,000 dan nilai keseluruhan rampasan termasuk sebuah bot, enjin, dan minyak diesel adalah RM 216,000,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana mengubahsuai tangki minyak tambahan tanpa kebenaran dan melanggar syarat sah lesen dan Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana cubaan menyeludup diesel bersubsidi.

“Bot, hasil tangkapan dan kru bot kemudian dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

“Orang ramai dan persatuan-persatuan nelayan diseru untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat dan melaporkan aktiviti penyeludupan yang berlaku bagi membanteras penyeludupan minyak diesel bersubsidi.

“Sebarang aduan di perairan Perlis, boleh disalurkan ke talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi ZMKP 04-9851072 atau 04-9851162,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here