JABATAN Perdana Menteri (JPM) menafikan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan dilantik sebagai Pengerusi Petronas, seperti yang tular di laman media sosial.
JPM dalam kenyataan berkata, maklumat yang tular menerusi media sosial, hari ini adalah palsu.
“Orang ramai diminta agar tidak menyebarkan atau berkongsi sebarang maklumat yang tidak pasti atau palsu,” kata JPM hari ini.
Terdahulu, tular satu poster bertajuk ‘Ismail Sabri dilantik Pengerusi Petronas?’ yang memaparkan gambar pertemuan Ismail Sabri dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kandungan poster itu mendakwa Anwar telah bersetuju secara dasarnya dengan perlantikan tersebut yang mana ia turut dibincangkan dalam pertemuan bersemuka di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya semalam. – Malaysiapost

