Dana RM600 bilion: ‘Mana pergi wang ini, PN harus jawab’ – Isham Jalil

0
2

AHLI Majlis Kerja Tertinggi Umno, Isham Jalil berkata Perikatan Nasional (PN) perlu bertanggungjawab terhadap wang yang dibelanjakan dalam tempoh 17 bulan mentadbir negara.

Beliau berkata, siasatan dan audit perlu dijalankan kerana PN menggunakan perbelanjaan besar mencecah ratusan billion ringgit yang mana ia adalah wang rakyat.

Tambahan pula katanya, pemimpin PN sendiri tidak pasti jumlah sebenar dana yang dibelanjakan untuk mengurus negara kerana masing-masing menyatakan angka yang berbeza-beza.

“(Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad) Sanusi (Md Nor) kata RM600 billion. Setiausaha sulit (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) kata RM530 billion. Muhyiddin kata lebih dari RM600 billion. Entah-entah ia lebih besar.

“Beza RM530 billion dan RM600 billion itu adalah RM70 billion. Mereka kata perbelanjaan kerajaan ‘hanya’ RM83 billion. Ini adalah jumlah yang amat besar.

“Contohnya, wang ini boleh bina 10,000 sekolah, atau beri setiap orang dewasa 18 tahun ke atas di Malaysia RM4,000 seorang, atau setiap keluarga RM10,000 satu keluarga, atau beri 830 juta bakul makanan. Mana pergi wang ini?,” katanya menerusi Facebook.

Isham berkata, keadaan itu seolah-olah memperlihatkan mereka ‘tidak kisah’ sehingga lupa jumlah perbelanjaan sebenar.

“Sebab itu ia perlu disiasat dan diaudit. Mereka berbelanja berbillion-billion sehingga mereka pun lupa dan tidak kisah berapa sebenarnya mereka telah belanja dalam 17 bulan tersebut. Mereka perlu jawab dan bertanggungjawab. Ini wang rakyat,” katanya.

Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka kertas siasatan berhubung isu dana RM600 bilion yang didakwa diseleweng kerajaan terdahulu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, mengesahkan perkara itu namun tidak mendedahkan butiran lanjut berhubung siasatan yang sedang dilaksanakan agensi berkenaan. – Malaysipost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here