SERAMAI 63 peratus pengundi telah menunaikan tanggungjawab bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Parlimen Padang Serai setakat jam 4 petang tadi.
Pada masa sama, PRU15 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman menyaksikan 54 peratus pengundi telah keluar mengundi setakat tempoh sama.
Perkara itu dimaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi kenyataan di Facebook.
Terdahulu, SPR menyasarkan antara 60 hingga 75 peratus pengundi keluar mengundi pada PRU-15 untuk kedua-dua kawasan yang berlangsung hari ini.
Parlimen Padang Serai mempunyai 132,955 pengundi, manakala DUN Tioman mempunyai 28,108 pengundi.
Sebanyak 46 pusat mengundi dibuka di Parlimen Padang Serai membabitkan 230 saluran mengundi, manakala DUN Tioman mempunyai 17 pusat mengundi dengan 52 saluran pengundian.
Pengundian bagi dua kerusi terbabit tidak dapat diadakan serentak dengan PRU15 pada 19 November lalu kerana kematian seorang calon yang bertanding di setiap kerusi terbabit sebelum hari mengundi. – Malaysiapost

