Wanita Orang Asli maut dipijak gajah

0
1

SEORANG wanita Orang Asli maut diserang gajah di Kampung Simoi Baru, Pos Betau di Lipis, Pahang, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 4.45 pagi itu, mangsa, Wak Angkat Yong Tong, 39, dipercayai tidak sempat melarikan diri ketika tempat tinggalnya diserang sekumpulan gajah.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superitendan Azli Mohd Noor berkata, pihaknya dimaklumkan oleh orang awam berkaitan dengan kejadian itu.

“Hasil siasatan awal mendapati seorang perempuan Orang Asli telah meninggal dunia dan punca kematian dipercayai cedera parah akibat dipijak oleh gajah.

“Mangsa tinggal bersama keluarga di rumah kayu terletak di kampung itu yang mana di sekitarnya terdapat pokok pisang dan berhampiran kebun getah,” katanya.

Azli berkata, ketika kejadian seramai sembilan ahli keluarga mangsa sedang tidur dikatakan tidak menyedari kehadiran sekumpulan gajah berkenaan.

Katanya, gajah itu menarik dinding dan rumah mereka hingga bergoyang menyebabkan semua tersedar sebelum melarikan diri dalam keadaan gelap.

“Selepas keadaan reda, mereka berkumpul semula dan menyedari salah seorang ahli keluarga tiada sebelum menjumpai mayat mangsa berada dalam kawasan pokok pisang berhampiran rumah,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa oleh anggota polis ke Unit Forensik Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here