KEMENTERIAN Kewangan (MOF) mengesahkan satu kejadian kebakaran kecil telah berlaku di Bilik Sampah, Bangunan Perbendaharaan, di Putrajaya petang tadi.
MOF menerusi kenyataan, berkata kejadian itu berlaku di Aras G, Blok Utara, kompleks kementerian tersebut pada jam 2.26 petang.
“Kebakaran kecil tersebut telah berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat, Putrajaya dan disahkan tidak merebak ke kawasan lain di Bangunan Perbendaharaan. Tiada kecederaan dan tiada sebarang kerugian dilaporkan,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu, MOF masih menunggu laporan rasmi daripada pihak berkuasa mengenai punca kejadian insiden kebakaran tersebut.
Terdahulu, Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Putrajaya, mengesahkan kejadian kebakaran berlaku di stor sisa pukal dan penyelenggaraan, aras bawah bangunan MOF di Putrajaya, hari ini.
Bagaimanapun, kejadian tersebut tidak membabitkan kemalangan jiwa.
Selain itu, sebuah video berdurasi seminit 17 saat memaparkan keadaan di luar bangunan MOF tersebut tular di media sosial, sejak petang tadi. – Malaysiapost

