Kor Ming sokong langkah potong gaji menteri, rasai keperitan rakyat

0
1
KUALA LUMPUR, 25 Mac -- Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Nga Kor Ming menjawab pertanyaan para pengamal media pada persidangan Parlimen di Bangunan Parlimen hari ini. --fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

MENTERI Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming menyokong langkah pemotongan gaji menteri sebanyak 20 peratus seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mesyuarat khas Kabinet, semalam.

Kor Ming turut menyifatkan langkah tersebut sebagai satu mesej yang kuat oleh Kerajaan Perpaduan dalam merasai keperitan hidup rakyat.

“Saya sokong 100 peratus potongan gaji menteri, belum mula kerja (tapi) semalam sudah kena potong 20 peratus tapi saya rela dan lega kerana ini adalah satu tanggungjawab yang penting.

“Mungkin jumlah potongan gaji 20 peratus penjimatannya tidak seberapa, tapi ia ‘strong message’ oleh Kerajaan Perpaduan dengan semangat ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’,” katanya seperti dilapor Utusan Online.

Beliau berkata demikian pada sidang media pertamanya selepas memulakan tugas secara rasmi di KPKT, hari ini.

Selain itu, Kor Ming turut mengumumkan mengenai amalan ‘no gift policy’ di pejabatnya bermula hari ini termasuk majlis-majlis yang bakal dihadiri oleh beliau.

“Tak payah bagi apa-apa kerana saya rasa ia jadi beban kepada pihak penganjur khususnya mana-mana majlis yang saya hadir, tak perlu ada apa-apa hadiah, itu kita boleh jimat untuk sedekah kepada asnaf, lebih bermakna,” katanya.

Kor Ming turut menekankan mengenai pemerkasaan khidmat fundamental iaitu melibatkan pengurusan sampah, rumput dan longkang di seluruh 155 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negara ini.

“Saya akan minta Ketua Setiausaha sampaikan kepada semua Yang Dipertua (PBT) kerana ini adalah isu yang paling dekat di hati rakyat, saya nak mereka rasa kita betul-betul memperkasakannya,” katanya.

Mengulas mengenai pelantikan jawatan timbalan menteri, Kor Ming berkata, pelantikan anggota Kabinet termasuk timbalan menteri merupakan prerogatif Perdana Menteri. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here