AHLI Barisan Nasional (BN) dan Umno diminta tidak takut dengan kerjasama yang dibentuk antara parti itu dengan Pakatan Harapan (PH) menerusi Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata beliau bersama dua lagi pemimpin tertinggi Umno bertemu dengan pimpinan PH mengadakan perbincangan, sebelum Kerajaan Perpaduan dibentuk.
“Jangan takut, Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai Timbalan Presiden dan Datuk Seri Zambry Abd. Kadir (Setiausaha Agung BN), kami bertemu DAP bersama pimpinan PH lain sebelum kerajaan dibentuk.
“Soalan pertama saya, bagaimana kedudukan Islam, bagaimana kedudukan bahasa Melayu, hak orang Melayu dan institusi raja-raja Melayu jika bekerjasama dengan DAP?
“Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menyatakan kepimpinan baru parti itu akur dengan perkara dalam Perlembagaan termasuk empat perkara tersebut, apa kita nak takut?,” katanya di Program Himpunan Rakyat Bersama Timbalan Perdana Menteri, di Rompin hari ini.
Ahmad Zahid turut menegaskan beliau tidak akan menjual Umno dan BN walaupun parti itu membuat keputusan bekerjasama dengan PH membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan.
Menurutnya, apa yang penting, parti itu menjadi kerajaan demi memastikan kepedulian terhadap rakyat diutamakan seterusnya menjadikan BN terus kekal relevan dan diterima oleh masyarakat.
“Kita tolak parti ekstremis dari segi agama dan kaum, kita (BN) tidak jual agama dan kaum. Itu kita akan pertahan sebagai akar tunjang kita.
“Tapi, apa kita lakukan mesti dengan keizinan Allah SWT, keikhlasan demi agama, bangsa dan negara. Itu yang harus kita pertahankan,” ujarnya.
Dalam masa sama, Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno menyeru dirinya dan semua kepimpinan BN bahawa ini merupakan ujian terakhir Allah SWT dan jangan lagi ada perbezaan pendapat dan perpecahan.
“Rapatkan barisan, wujudkan penyatuan pemikiran, penyatuan hati, insya-Allah kita bergerak sederpa dengan semangat wahdatul amal dalam kalangan kita supaya Umno terus utuh, terus kuat.
“Apa yang penting, kita perlu berjanji untuk terus berkhidmat kepada rakyat,” katanya. – Malaysiapost

