VETERAN DAP, Lim Kit Siang mempersoalkan sama ada Ahli Parlimen PAS akan meletakkan jawatan sekiranya dana syarikat perjudian digunakan bagi membiayai kempen Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
Malah, Kit Siang melahirkan rasa terkejut apabila kerajaan PN yang dipimpin Bersatu dan PAS meningkatkan kekerapan cabutan khas kepada 22 kali setahun berbanding lapan cabutan sebelum ini.
“Adakah mana-mana daripada 46 orang Ahli Parlimen PAS akan meletakkan jawatan sebagai tanda protes jika pemilihan mereka ke Parlimen dibiayai sumber berkenaan perjudian?.
“Saya mengalu-alukan keputusan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Kewangan untuk mengurangkan jumlah cabutan khas kepada lapan kali setahun ini bermula Januari depan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anwar dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet semalam, membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN datang daripada syarikat perjudian.
Susulan tuduhan itu, PAS menuntut Anwar mengemukakan bukti mendakwa PN menggunakan dana daripada syarikat perjudian dalam kempen PRU15.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, dilapor berkata sekiranya Perdana Menteri gagal mengemukakan bukti terhadap tuduhan berkenaan pihaknya sedia mengambil tindakan undang-undang.
Dalam isu berasingan, Kit Siang turut memuji cadangan Majlis Raja-Raja supaya Jawatankuasa Pelantikan Kehakiman (JAC) dibebaskan daripada pengaruh Perdana Menteri.
“Idea Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, supaya kuasa Perdana Menteri untuk melantik ahli-ahli JAC akan dapat memastikan keahlian jawatankuasa ini tidak membawa kepentingan mana-mana pihak.
“Terdapat tanda yang jelas yang Malaysia sedang mengembalikan kebebasan badan kehakiman selepas tiga dekad yang suram, dan perkara ini perlu terus digalakkan,” katanya.
Beliau juga mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan dengan serius untuk menerbitkan laporan Jawatankuasa Reformasi Institusi (IRC) yang dilengkapkan pada tahun 2018 untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih matang dan demokratik.
Katanya, agak sukar untuk sebarang reformasi utama dibentangkan dalam Persidangan Parlimen pada 19 Disember ini, namun ia perlu diperkenalkan pada tahun pertama pentadbiran Anwar bagi menggelak sebarang kemungkinan.
“Kerajaan Anwar sepatutnya bertahan selama lima tahun, tetapi masih terdapat kemungkinan ia boleh ditumbangkan selepas setahun,” katanya. – Malaysiapost

