“SAYA tidak takut untuk disiasat kerana saya tahu saya tidak seleweng duit rakyat yang diamanahkan kepada kerajaan untuk digunakan bagi tujuan membantu rakyat ketika zaman susah,” tegas Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, menafikan dakwaan pemimpin Pakatan Harapan (PH) terhadap dirinya yang dikatakan menyeleweng dana kerajaan berjumlah RM600 bilion.
Menurutnya, dakwaan itu dibuat oleh Ahli Parlimen Hulu Langat Mohd Sany Hamzan yang turut membuat laporan polis mengenainya dan tuduhan sama juga dibuat oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil.
“Saya tidak pasti dari mana angka (RM600 bilion) ini dipetik. Saya agak ia merujuk kepada 8 Pakej Rangsangan Ekonomi bernilai RM530 bilion yang saya laksanakan semasa saya menjadi Perdana Menteri untuk membantu rakyat dan perniagaan yang terjejas semasa tempoh pandemik.
“Daripada keseluruhan RM530 bilion ini, sebahagian besarnya adalah berbentuk non-fiskal, iaitu tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata pakej rangsangan itu termasuk pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pengurangan pembayaran KWSP, moratorium dan jaminan kerajaan untuk pinjaman syarikat
“Tak mungkin saya seleweng wang ini kerana ia adalah wang individu atau bank yang tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan. Saya sebagai Perdana Menteri pada ketika itu tidak ada apa-apa kuasa ke atas penggunaan wang ini,” tegasnya.
Beliau berkata, Menteri Kewangan pada 29 Jun 2021, pula memaklumkan perbelanjaan yang melibatkan wang kerajaan dalam bentuk suntikan fiskal adalah bernilai RM83 bilion.
Menurutnya, ia termasuk perbelanjaan untuk pembelian vaksin Covid-19, pelbagai bentuk bantuan langsung tunai untuk rakyat dan bantuan-bantuan lain yang dimasukkan terus ke akaun penerima yang layak.
“Tidak ada satu sen pun wang ini masuk ke akaun peribadi saya. Tak masuk akal wang bantuan rakyat yang dimasukkan terus ke dalam akaun mereka boleh diseleweng masuk ke akaun saya,” katanya.
Muhyiddin berkata, jika ia berlaku sudah tentu akan diketahui oleh Jabatan Audit Negara (JAN) dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) kerana ia bukan perkara kecil.
Beliau berkata, selain itu Bank Negara Malaysia juga tentunya mendapat notifikasi tentang pergerakan jumlah wang yang besar masuk ke akaun beliau dan siasatan telah dimulakan sejak lebih setahun lalu, namun hingga kini tiada siasatan.
“Nak kata saya halang siasatan kerana saya Perdana Menteri pun tak betul. Kerana saya telah meletak jawatan sebagai Perdana Menteri lebih setahun yang lalu.
“Selain itu, kalau hal ini berlaku sekalipun, sudah tentu Pak Mat, Pak Jusoh, Mak Piah di kampung sedar wang yang sepatutnya mereka terima tak masuk ke dalam akaun mereka. Cuba tanya mereka. Dapat ke tidak duit itu.
“Tanya juga En Salim, Mr Lim, Mr Kumar mereka terima atau tidak subsidi upah yang disalurkan kepada syarikat-syarikat mereka. Kalau semua dapat, mana mungkin wang itu diseleweng oleh saya?” soalnya.
Muhyiddin percaya pihak Kementerian Kewangan Malaysia khususnya Agensi Pelaksana Ekonomi dan Koordinasi Strategik Nasional (LAKSANA) mempunyai setiap butiran perbelanjaan bagi semua lapan Pakej Rangsangan Ekonomi yang dilaksanakan semasa beliau menjadi Perdana Menteri.
Sementara itu, beliau mengingatkan kepada ahli-ahli politik PH dan Umno, supaya tidak asyik menuding jari kepada orang lain dengan menuduh yang bukan-bukan semata-mata untuk menutup kelemahan kerajaan yang baru dibentuk ketika ini.
“Awak dah jadi kerajaan, bersikaplah seperti kerajaan. Sudah-sudahlah bermain wayang politik kerana rakyat mahu lihat apa perancangan kerajaan untuk mereka,” katanya. – Malaysiapost

